KUALA LUMPUR – Zoo Negara meneruskan tradisi tahunan ketika Ramadan dengan pengagihan 1,200 pek bubur lambuk di beberapa lokasi di sekitarnya hari ini.
Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif berkata, program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan dengan kerjasama Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. dan 99 Speed Mart Sdn. Bhd.

“Program pengagihan bubur lambuk ini telah berlangsung lebih kurang tujuh tahun dan Adabi merupakan salah satu penaja Zoo Negara yang telah sekian lama membantu kami.
“Bantuan dari segi kewangan saya boleh katakan, setiap tahun lebih kurang RM100,000,” katanya pada Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk bertemakan Sinar Ramadan – Kongsi Rezeki di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun Zoo Negara lebih dikenali dengan peranan memelihara kebajikan haiwan liar, program ini mencetuskan keunikan tersendiri kerana memberi peluang pihaknya dan rakan penaja untuk menggalakkan amalan berkongsi rezeki serta menyantuni komuniti setempat dan para pengunjung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Adabi, Syed Mahadzir Datuk Syed Manshor, berkata uniknya tahun ini, selain bubur lambuk ayam dan daging, program kali ini turut menampilkan menu tambahan seperti bubur lambuk rusa, sup rusa dan bubur jagung.
“Resepi bubur lambuk ini, kita pakai semua produk Adabi dan resepi ni dah tujuh tahun kita guna dan sudah ditambah baik.

“Insya-Allah program ini akan dilanjutkan ke seluruh Malaysia dan kami sasarkan untuk mengagihkan 300,000 ke 400,000 bekas bubur lambuk,” katanya.
Selain itu, syarikat 9 Speed Mart Sdn. Bhd. turut memeriahkan program bubur dengan memberikan sumbangan sebanyak 1,200 biji telur masin yang menjadikan hidangan bubur lambuk kali ini lebih istimewa.
Program gotong-royong memasak bubur lambuk melibatkan kakitangan Zoo Negara serta wakil daripada Adabi dan 99 Speed Mart yang bersama-sama berganding bahu dari awal penyediaan sehingga proses pengagihan. – MalaysiaGazette
