Gambar hiasan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh barakah dan merupakan lubuk melakukan amal ibadah. Di bulan Ramadan inilah, Allah swt mewajibkan hamba-Nya agar berpuasa iaitu menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Pada malam hari pula kita disarankan agar melakukan ibadat seperti bertadarus al-quran, bertasbih dan bersolat terawih.

Namun, ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan pergigian kerana takut puasa mereka terbatal. Semasa melakukan rawatan pergigian, memang tidak dinafikan akan ada air dan bahan pergigian yang akan dimasukkan ke dalam mulut.

Sebagai contoh, semasa melakukan rawatan cuci gigi (scaling and polishing) atau rawatan tampalan gigi, terdapat air yang keluar bersama-sama alat pergigian (handpiece). Namun air ini akan disedut oleh alat penyedut yang diletakkan di dalam mulut. Sekiranya, masih ada lagi air di dalam mulut, pesakit boleh meludah keluar ke dalam bekas yang disediakan.

Selain itu, rawatan cabutan gigi juga tidak membatalkan puasa. Menurut fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, mengikut pandangan ramai ulama, mencabut gigi pada waktu siang bagi orang yang berpuasa adalah tidak membatalkan puasanya. Ini adalah kerana gigi yang telah rosak boleh membahayakan kesihatan dan mungkin membahayakan nyawa.

Baru-baru ini, di negara jiran, telah heboh diperkatakan apabila seorang pesakit meninggal dunia akibat jangkitan kuman dari gigi yang rosak. Pesakit yang mengalami kesakitan gigi harus melakukan rawatan pergigian dengan segera bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku.

Rawatan pendakap gigi (braces), pemakaian retainers, rawatan akar gigi dan pemutihan gigi (whitening), juga boleh dilakukan semasa bulan Ramadan. Ini selaras dengan hasil keputusan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengatakan rawatan seperti tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi tidak membatalkan puasa dengan syarat pesakit tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa rawatan dilakukan.

Akhir kata, Islam amat mengalakkan umatnya menjaga kebersihan mulut dan gigi. Bahkan, Nabi Muhammad saw bersabda “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku  ataupun manusia nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, jangan ragu-ragu bagi mendapatkan rawatan pergigian pada bulan Ramadan ini. Rawatan pergigian tidak menyakitkan dan tidak membatalkan puasa.

Oleh,

Professor Madya Dr Azrul Hafiz bin Abdul Aziz

Pakar Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia

-MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here