KOTA TINGGI – Polis menahan tiga warga asing dan merampas 46,728 kilogram bahan e-waste, kelongsong peluru, anak peluru dan komponen kapal terbang bernilai RM23.8 juta selepas melakukan serbuan di sebuah kilang haram di Jalan Lombong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, serbuan pukul 4 petang semalam sehingga 6 pagi tadi melibatkan 20 anggota sebelum dibantu kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
“Menerusi serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, seorang penyelia kilang warga China berusia 50 tahun dan sepasang suami isteri warga Myanmar berusia 23 dan 24 tahun ditahan.
“Ketiga-tiga mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong. Ujian saringan air kencing mendapati semuanya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam sidang akhbar di kilang tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan di premis kilang tersebut, pihak polis merampas pelbagai barangan iaitu 75 guni komponen elektronik dengan berat 46,214 kilogram (kg) serta sembilan guni mengandungi aluminum dan plastik (514kg).
Beliau memberitahu, ini termasuk 66 mampat komponen elektronik, 18 mampat wayar elektrik, 166 budi tembaga, 62 tong yang mengandungi metal crab, 43 gelung besi, 10 tong mengandungi berbola tim dan serbuk besi, tujuh tong kelongsong peluru dan satu tong mengandungi anak peluru.
Yusoff berkata, siasatan mendapati kilang itu dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu tanpa sebarang lesen sah, termasuk kebenaran pemprosesan sisa elektronik serta permit berkaitan senjata api.
“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan dan pemprosesan haram sisa elektronik serta bahan berbahaya.
“Kita dapati sindiket ini bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah berpotensi mencemarkan alam sekitar dengan lambakan sisa elektronik yang diproses secara tidak terkawal
“Penemuan tujuh tong kelongsong peluru dan satu tong berisi anak peluru amat membimbangkan, jika jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk aktiviti jenayah,” katanya.
Polis kini katanya, sedang giat menyiasat rangkaian sindiket berkenaan serta punca bekalan bahan buangan elektronik dan peluru yang dirampas di perloleh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
Kes juga katanya, disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki kelongsong dan anak peluru tanpa kebenaran serta Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 berkaitan penyimpanan sisa elektronik secara haram.
Suspek juga tambahnya, disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen kerja yang sah.
“Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari mulai hari ini Mac hingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Pihak polis katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah agar segera menyalurkan maklumat kepada polis talian IPK Johor 019-2792095 atau bilik gerakan polis Johor di 07-2212999.
Sementara itu, Yang Di-Pertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Muhamad Syahrizat Alwee berkata, kilang haram berkenaan akan disita sehingga 15 Mac ini.
Syahrizat berkata, kilang berkenaan sebelum ini beroperasi sebagai kilang elektronik namun sudah ditutup dan sindiket terbabit kemudian menjalankan kegiatan itu secara haram.- MalaysiaGazette