Gambar hiasan Foto Anadolu

BANDAR GAZA- Pasukan tentera Israel telah membunuh 24 wartawan wanita Palestin dalam genosid ke atas Gaza, kata ketua Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa, Salama Maarouf berkata, pembunuhan itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Tambahnya, kekejaman itu juga berlaku semasa “dunia bebas yang mendakwa memperjuangkan hak wanita dan mempertahankan wartawan.”

“Status mereka sebagai wanita tidak dapat melindungi mereka daripada tentera Israel, begitu juga imuniti kewartawanan mereka tidak dapat menjadi perisai daripada entiti pembunuh itu,” tegasnya.

Salama juga menuduh masyarakat antarabangsa “gagal mengambil tindakan yang bermakna,” kerana kebanyakan respons hanya terhad kepada kenyataan kecaman yang disifatkan beliau sebagai “hipokrit dan tidak mencukupi.”

Semasa perang Israel yang menghancurkan Semenanjung Gaza, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa utama keganasan tersebut.

Golongan itu menyumbang 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang mencapai 46,960 orang setakat 19 Januari 2025, menurut laporan Biro Statistik Pusat Palestin.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dikuatkuasakan di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan kekejaman Israel yang telah meragut lebih 48,400 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta meninggalkan wilayah itu dalam kehancuran.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas kempen ketenteraannya.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here