KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan adakah pekerja-pekerja asing di Malaysia yang mencarum 2.0 peratus dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menikmati dividen sama seperti rakyat Malaysia.
Soalnya lagi, tidakkah langkah ini bertindih dengan Skim Persaraan Swasta yang sedia ada, soal Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA mahu kerajaan memberi jawapan yang meyakinkan kepada dua persoalan ini.
Ia kerana, katanya, langkah kerajaan untuk mengenakan caruman dua peratus dalam KWSP bagi pekerja asing memerlukan jaminan dan langkah efektif bagi memastikan ia menjadi dasar yang membantu meningkatkan ekonomi negara.
Hal ini menimbulkan persoalan sama ada impak 2.0 peratus itu akan diserap untuk ditanggung oleh rakyat selaku pengguna akhir menerusi kenaikan harga barang atau sebaliknya.
Lawrence menegaskan, dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, barangan yang mahal bukan sahaja membebankan pengguna tetapi juga melemahkan daya saing barangan dan majikan, sekali gus menjejaskan perniagaan serta industri tempatan, termasuk pekerja tempatan.
Katanya, majikan yang tidak dapat menyerap mahupun memindahkan kos mungkin terpaksa mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI), sekali gus memburukkan lagi masalah lambakan pekerja asing tanpa dokumen sah di negara ini.
Bagaimanapun, soalnya, adakah majikan mempunyai pilihan alternatif.
Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa dasar ini pernah dilaksanakan ke atas 300,000 pekerja asing di Singapura, namun ia dihentikan secara rasmi pada April 2024.
“Ini membuktikan Singapura sedar baik buruk dasar tersebut dan komited memberi tumpuan serta memberi manfaat kepada rakyatnya, bukan warga asing.
“Adakah Malaysia mengundur ke belakang apabila melaksanakan dasar yang tidak lagi dilaksanakan oleh negara lain?,” soal beliau. – MalaysiaGazette