Chai Ko Thing

KUALA LUMPUR – Kes kematian melibatkan pegawai kerajaan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Antara yang menjadi perhatian termasuk kes mendiang Teoh Beng Hock; tragedi seorang doktor wanita yang membunuh diri akibat buli di tempat kerja serta yang terbaharu kematian misteri pegawai kastam, Lim Ju Vynn.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Chai Ko Thing berkata, kes-kes itu dikendalikan dan tahap ketelusan dalam siasatan menimbulkan persoalan terhadap pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan ditegakkan.

“Khususnya dalam kes Lim Ju Vynn, sebagai pegawai kastam, beliau ditemui mati di bangunan Kementerian Kewangan pada 4 Mac.

“Namun laporan siasatan hanya menyatakan punca kematian adalah sesak nafas akibat tekanan pada leher dengan mayatnya ditemui lebih daripada 24 jam selepas kematian.

“Berdasarkan laporan ini, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut tanpa mendedahkan butiran siasatan yang lebih terperinci.

“Perkara ini menimbulkan kurang keyakinan masyarakat terhadap ketulusan kerajaan dalam menangani kes-kes seumpama ini,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berkata, Gerakan menegaskan kes seperti Teoh Beng Hock, Dr. Tay Tien Yaa, dan Lim Ju Vynn bukan sekadar tragedi peribadi tetapi juga melibatkan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta integriti kerajaan dalam menegakkan keadilan.

Ujarnya, Gerakan menggesa kerajaan dan pihak polis untuk bersikap lebih profesional dalam mendedahkan perkembangan dan hasil siasatan secara terbuka.

Katanya, ia penting bagi mengelak spekulasi yang tidak perlu serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Gerakan turut menekankan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini pernah menjadikan kes Teoh Beng Hock sebagai isu besar bagi menekan kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

“Namun, setelah mengambil alih pentadbiran, tiada sebarang perkembangan ketara dalam penyelesaian kes tersebut. Lagi membimbangkan, dua kes kematian pegawai tinggi kerajaan yang berlaku baru-baru ini juga tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Sikap sambil lewa dan kurang ketelusan dalam pengendalian kes-kes ini membuatkan rakyat berasa kecewa,” katanya.

Tambah beliau, Gerakan menegaskan rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran dan siasatan yang telus bukan sahaja satu bentuk penghormatan kepada yang telah meninggal dunia tetapi juga satu penghormatan kepada semua rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here