KUALA LUMPUR – Jumlah penganggur pada Januari 2025 berada dalam trend menurun, berkurang kepada 533, 800 orang, merekodkan kadar pengangguran 3.1 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada bulan tersebut, pasaran buruh negara berada dalam trend peningkatan, mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kedudukan ekonomi negara walaupun terdapat beberapa cabaran dalam perdagangan dan inflasi.

Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Januari 2025 terus bertambah, meningkat sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.22 juta orang (Disemberr 2024: 17.17 juta orang).

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.6 peratus seperti bulan sebelumnya.

Trend positif dalam tenaga buruh ini didorong oleh peningkatan dalam guna tenaga.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja pada bulan Januari 2025 terus bertambah, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai 16.68 juta orang (Disemberr 2024: 16.63 juta orang).

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir menjelaskan, pada bulan Januari 2025, kategori pekerja, yang merangkumi
75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 12.56 juta orang (Disemberr 2024: 12.53 juta orang).

Kategori penduduk bekerja sendiri juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 3.11 juta orang (Disemberr 2024: 3.09 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang stabil, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit, dan aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian turut menunjukkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada bulan Januari 2025.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi pengangguran pada Januari 2025, beliau berkata, 79.4 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Dalam kategori ini, bilangan tersebut berkurang sebanyak 0.5 peratus kepada 423,600 orang (Disemberr 2024: 425,700 orang).

Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 63.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Sementara itu, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, menurun sebanyak 2.3 peratus kepada 110,200 orang (Disemberr 2024: 112, 800 orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299.3 ribu penganggur belia pada bulan Januari 2025 (Disemberr 2024: 10.4%; 301,400 orang).

Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pada bulan tersebut kekal pada 6.3 peratus, dengan seramai 402,400 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Disemberr 2024: 6.3%; 400,700 orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here