JOHOR BAHRU – Polis mematahkan cubaan menyeludup beras tanpa label dan merampas 70 kampit beras seberat 1,750 kilogram dalam satu serbuan di Skudai, di sini, semalam.
Sepasukan anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Pegawai Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor melakukan serbuan pukul 4.30 petang di sebuah premis yang menjalankan aktiviti penjualan beras tanpa label.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, menerusi operasi khas Op Beras itu sebanyak 70 kampit beras seberat 25 kilogram setiap satu yang tidak mempunyai label menunjukkan gred dan harga dirampas.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM14,875. Semua rampasan ini telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 10(2) P.U 64 Kawalan Padi dan Beras (Perlesenan dan Peruncit) iaitu pemegang lesen runcit hendaklah meletakkan label atau tag yang menunjukkan gred dan harga beras pada kampit atau bekas beras yang ditawarkan untuk jualan.
“Ia hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat di premis perniagaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun.
“Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, hukuman boleh meningkat kepada denda RM25,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122 bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terpelihara.- MalaysiaGazette