Mohamed Khaled Nordin menerima replika cek berjumlah RM139,050 untuk murid Tahun 1 dalam kalangan anak-anak Tentera Darat daripada Mohd Nizar di Kem Wardieburn, ibu negara baru-aru ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyerahkan sumbangan Simpanan Pendidikan MADANI berjumlah RM189,400 kepada 3,788 pelajar Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Sumbangan disampaikan kepada anak-anak anggota tentera daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Tentera Darat (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

YLTAT dalam kenyataan memaklumkan, setiap pelajar yang menerima sumbangan itu akan dibantu untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan jumlah RM50 yang akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

Inisiatif itu katanya, adalah langkah penting dalam usaha YLTAT untuk memperkasa simpanan pendidikan dan memastikan warga ATM mempunyai perancangan kewangan pendidikan yang mampan bagi keluarga mereka.

“Dengan inisiatif ini, YLTAT berharap dapat memberikan sokongan yang kukuh kepada keluarga anggota ATM dalam memastikan masa depan pendidikan anak-anak mereka terus terjamin.

“Sumbangan ini juga selaras dengan aspirasi YLTAT untuk menjadi peneraju dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan warga ATM,” katanya.

Inisiatif Simpanan Pendidikan MADANI adalah hasil kerjasama strategik antara YLTAT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac 2024.

YLTAT yakin bahawa inisiatif ini akan meningkatkan ketersediaan simpanan pendidikan berkualiti serta berkesan bagi keluarga ATM.

Dalam pada itu, YLTAT percaya usaha berkenaan tidak hanya akan memperkukuh perancangan kewangan anak-anak warga ATM, tetapi juga memberi peluang lebih baik untuk mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi tanpa dibelenggu masalah kewangan.

Dalam majlis yang diadakan baru-baru ini, Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin, telah menyerahkan replika cek sumbangan Simpanan Pendidikan MADANI kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT.

Sumbangan tersebut kemudian diserahkan kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan masing-masing.

“YLTAT terus komited dalam memberikan sokongan penuh terhadap usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM dalam memperkasa kebajikan serta pendidikan anak-anak anggota ATM.

“Dengan inisiatif ini, YLTAT berharap dapat memberi impak positif kepada keluarga ATM dalam merancang masa depan pendidikan yang lebih baik dan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here