PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini bagi menyambung sesi keterangannya kepada pihak berkuasa itu.
Beliau tiba pada jam 8.46 pagi menaiki kenderaan berwarna gelap, diiringi anggota polis pengiring.
Ahli Parlimen Bera itu kelihatan tenang dan sempat tersenyum serta melambai ke arah petugas media yang menunggu sejak awal pagi.
SPRM sebelum ini mengesahkan bahawa Ismail Sabri dijadualkan memberi keterangan pada jam 9 pagi, susulan sesi semalam yang berlangsung selama lima jam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan kehadiran beliau diperlukan bagi melengkapkan proses siasatan.
Ismail Sabri sebelum ini telah mengisytiharkan harta kepada SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan, dengan pengisytiharan tersebut dibuat pada 10 Februari lalu atas arahan suruhanjaya tersebut. – MalaysiaGazette