PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 12.30 tengahari selepas hampir empat jam memberi keterangan.
Ketika keluar dari bangunan SPRM, beliau yang menaiki kenderaan berwarna hitam sempat melambai kepada wartawan yang menunggu sejak pagi, namun tidak memberikan sebarang kenyataan.
Difahamkan beliau akan menyambung memberi keterangan kepada SPRM pada jam 3.30 petang ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 8.45 pagi tadi susulan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sebelum ini turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, selain 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.- MalaysiaGazette