KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat jenayah membabitkan industri penanaman padi.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, isu melibatkan padi serta pasaran beras yang tidak mencukupi memberi impak besar bukan sahaja kepada petani tetapi juga rakyat.
“Saya berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Dalam hal ini saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu kertas putih industri padi dan beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri tersebut.
“Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat Malaysia,” katanya.
Cadangan itu dibuat susulan pertermuan dan perbincangan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) melibatkan isu berkenaan padi dan beras serta akses kepada benih.
Muhyiddin berkata, peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani antara isu yang dibangkitkan.
Para petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan daripada RM1,300 per tan metrik kepada RM1,800 disebabkan kenaikan pelbagai kos tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, PeSAWAH telah menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menuntut supaya harga lantai padi dinaikkan.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Ahmad, berkata harga lantai padi yang diperkenalkan sejak 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan diesel dan benih.
Menurutnya, kos benih padi juga naik dua kali ganda sejak 2023 dan terkini kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram daripada berbanding RM45 sebelum ini.
Selain itu kos membajak dan menuai juga meningkat disebabkan penghapusan subsidi diesel sehingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi dikenakan pemilik mesin kerana tidak menerima ‘fleet card’ diesel.
Kumpulan itu turut terjejas disebabkan kos sewa tanah, kos racun dan kos upah penyelenggaraan sawah turut meningkat dengan berbeza harga mengikut negeri.
Pada 27 Februari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan KPKM untuk berbincang bersama pihak berkaitan termasuk para pesawah, bagi mencari jalan penyelesaian isu benih padi dan baja. – MalaysiaGazette