JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih lalok yang memandu melulu dan berbahaya dengan melakukan pergerakan zig-zag semasa melarikan diri dikejar polis berjaya diberkas dalam kejadian di Ulu Tiram, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hanya mengambil masa enam minit bagi memintas dan menahan kereta terbabit.
Menurut beliau, kejadian mengejar kereta dinaiki dua individu itu bermula ketika pasukan MPV sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di kawasan Jalan Tebrau, di sini.
“Unit MPV terbabit telah mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Altis berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4.17 petang.
“Arahan untuk berhenti telah diberikan kepada pemandu kenderaan berkenaan, namun suspek bertindak agresif memacu kenderaan dengan laju dan cuba melarikan diri,” katanya dalam sat kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta tersebut bukan sahaja enggan berhenti, malah turut memandu melulu dan berbahaya secara zig-zag yang meletakkan nyawa pengguna jalan raya dalam risiko.
Anggota MPV ujarnya, berjaya memintasnya di susur masuk ke pekan Ulu Tiram berhampiran Balai Polis Ulu Tiram.
Raub berkata, polis mengejar kereta itu sejauh 12 kilometer bermula dari Jalan Tebrau sehingga pekan Ulu Tiram, melalui jalan Bandar Cemerlang dan jalan Bandar Tiram.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun, kedua-duanya warga tempatan.
“Semakan lanjut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, semakan rekod lampau juga mendapati kedua-dua memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, suspek tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini bagi proses permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 26(1) (tidak memiliki lesen memandu) dan Seksyen 23(1) (cukai jalan tamat tempoh) akta yang sama,” katanya.
Kedua mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas penyalahgunaan dadah, ujarnya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.,- MalaysiaGazette