KUALA LUMPUR – Sebanyak 63 kapal asing yang disyaki berasal dari Indonesia, Thailand, dan Vietnam telah disenaraikan dalam Senarai Jawatankuasa Induk Perikanan Tidak Sah, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal (IUU) 2024 – Malaysia sehingga November 2024.
Walaupun jumlah tangkapan kapal asing menunjukkan penurunan daripada 121 kes pada tahun 2020 kepada 82 kes pada 2024, ancaman terhadap sumber perikanan negara masih berterusan dan perlu ditangani segera.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, pihak akan meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan oleh kapal asing dapat ditangani secara tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perikanan haram yang menjejaskan kemandirian sumber perikanan negara dan merugikan nelayan tempatan.
“Mana-mana pihak yang melanggar Akta Perikanan 1985 akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan vesel dan denda maksimum,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jabatan Perikanan turut mengukuhkan sistem pemantauan kapal (VMS) bagi mengawasi pergerakan vesel penangkapan ikan tempatan (VNT), khususnya di Zon B, C, dan C2, serta memantau aktiviti pencerobohan di kawasan perairan yang dikhaskan untuk nelayan tempatan.
Dalam pada itu, usaha menangani aktiviti Perikanan Tidak Sah, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal (IUU Fishing) terus diperkasakan melalui Jawatankuasa Induk IUU Fishing dan Jawatankuasa Kerja IUU Fishing yang diketuai DOF dengan sokongan pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan.
Malaysia juga akan terus memainkan peranan utama dalam ASEAN Network for Combating IUU Fishing (AN-IUU) bersama negara serantau bagi menangani ancaman IUU di perairan rantau ini.
Jabatan Perikanan Malaysia menyeru semua pihak, khususnya pemain industri perikanan dan komuniti nelayan, agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan sumber perikanan negara dapat diurus secara mampan demi kepentingan generasi akan datang.- MalaysiaGazette
















