KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin membidas anggota yang menderhaka pasukan sehingga membahayakan nyawa rakan sejawat.
Beliau berkata, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”, dan ‘nila’ berkenaan melakukan pelbagai kerja terkutuk, termasuk memperdagangkan informasi kepada sindiket dadah.
“Mereka telah mengancam nyawa rakan sejawat lain kerana penjenayah yang memperoleh maklumat penguatkuasaan boleh memerangkap kami, termasuk menjerat kami ke kawasan yang dipasang bahan letupan,” katanya kepada China Press.
Katanya, perbuatan khianat lain termasuk menjual hasil rampasan dadah dan mengubah laporan ujian dadah daripada positif kepada negatif.
Kok Chin berkata, beliau mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang melakukan kesalahan berkenaan, tanpa mengira sama ada mereka berpangkat tinggi atau rendah.
Katanya, dalam satu kes sebelum ini di Selangor, dua anggota didapati menjual dadah yang dirampas dalam serbuan polis, dan beliau telah mengarah tindakan diambil di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Selain merancang serbuan, saya juga perlu memikirkan keselamatan anggota pasukan.
“Oleh itu, kami mesti tegas untuk menghapuskan pengkhianat dalaman yang boleh mengancam keselamatan,” katanya.
Beliau mengakui, masih ramai orang yang sanggup menanggung risiko untuk mengedar dadah kerana pulangan yang lumayan.
Kok Chin yang akan bersara pada 14 Mac telah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan polis dan pernah terlibat dengan pelbagai kes termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan Datuk Sosilawati Lawiya. – MalaysiaGazette