KUALA LUMPUR – Jawapan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung dakwaan dua bekas pegawainya meminta dan menerima rasuah RM500,000 disifatkan sebagai ‘play safe’.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menyifatkan jawapan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai mengutamakan jawatan politik.
“Teresa Kok beri jawapan salah bila mendakwa siasatan SPRM terhadap dua bekas pegawainya menjejaskan peluangnya dalam pemilihan CEC DAP akan datang.
“Sepatutnya Teresa Kok dengan tegas berkata, dia rela kalah dan tanggung risiko karier politiknya malap kerana tidak berkompromi dengan siasatan SPRM.
“Kini rakyat tahu punca Teresa tidak melaporkan kepada SPRM salah laku dua bekas pegawainya. Dia play safe. Jawatan politik lebih penting,” kata Mohd. Puad.
Dua hari lalu, Tersesa menyuarakan kebimbangan terhadap peluang mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP susulan siasatan ke atas bekas pembantunya.
Menurut beliau, ramai ahli DAP tidak berpuas hati dengannya apabila beliau memutuskan untuk memecat dan menamatkan perkhidmatan pembantunya tahun lalu selepas mendapati peruntukan Parlimennya diseleweng.
Kini, beliau bimbang beliau tidak akan mendapat undi perwakilan yang mengenali bekas pembantunya dalam pemilihan Ahad ini.
Sementara itu Mohd. Puad berkata, Teresa merasai apa yang telah dilalui oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berhadapan dengan tindakan undang-undang selepas pegawainya melalakukan jenayah.
“Sekarang Teresa tahu musibah bila pegawai sendiri buat hal. Dia hina Najib macam-macam. Semua tahu Jho Lo buat hal. Ramai lari ke luar negara.
“Jasmine Loo balik tetapi jadi “crown witness” untuk kenakan Najib. Biasanya bila pegawai kena siasat, bos juga kena siasat. Kenapa Teresa terkecuali?” soal Mohd. Puad.
SPRM sebelum ini mereman dua bekas pegawai Teresa atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000.
Sumber SPRM berkata, rasuah itu bagi membantu meluluskan permohonan pembiayaan RM1.5 juta bagi pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.-MalaysiaGazette