Pelajar Asasi Sains Sosial di Weifang Vocational College of Food Science and Technology bersama tenaga pengajar UMS.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh hubungan menang-menang Malaysia dan China menerusi pembangunan program pesisir Sijil Asasi Sains Sosial.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata, usaha tersebut penting dalam memperkukuh dan memartabatkan bidang kepakaran Sains Sosial di dua buah universiti di China.

Katanya, bagi peringkat awal, dua buah universiti terlibat dengan program Asasi Sains Sosial iaitu Ocean University of China dan Weifang Vocational College of Food Science and Technology.

“Kerjasama antara UMS Flexible Education Centre (UMSFLEC) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS telah membawa kepada pembangunan program Asasi Sains Sosial.

“Seramai 39 kakitangan akademik UMS dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Pengajian Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) terlibat dalam pembangunan program ini,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Asasi Sains Sosial UMS, Dr. Mivolil Duinong berkata, usaha menawarkan program asasi di China telah mempelbagaikan penawaran program asasi di UMS, selain program asasi sains yang ditawarkan di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS.

Selain program asasi sains sosial, PPST UMS turut menawarkan program Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Agrisains yang masing-masing mula ditawarkan pada tahun 2010, 2020 dan 2024.

“Dengan adanya Asasi Sains Sosial di China ia dijangka dapat menggalakkan pemahaman mengenai budaya antara dua negara dan perkongsian pengetahuan,” katanya.

Program persisir Sijil Asasi Sains Sosial UMS di China mula ditawarkan pada bulan Oktober 2024 dan telah menerima seramai 99 pelajar bagi pengambilan pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast