Mustapha menyaksikan pertukaran LLOI antara Datuk Arman Shamsuri sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25), di Langkawi hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini memeterai Surat Niat (LOI) bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBNDT), menyaksikan satu kerjasama strategik yang menggabungkan kekuatan akademik, kemahiran teknikal dan kejuruteraan pertahanan.

Ia merupakan satu usaha dalam memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan negara.

Majlis pertukaran dokumen itu berlangsung di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersempena Edisi Ke-17 Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Pertukaran LOI itu dilakukan oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad dengan Shamsuri Arif, Pengarah IKTBNDT dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Mustapha Sakmud.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua institusi akan berganding bahu dalam pembangunan dan reka bentuk prototaip Kenderaan Hover Wing-In-Ground (HWIG) yang akan dilengkapi dengan Sistem Senjata Kawalan Jauh.

Ia ada satu inisiatif penting dalam memperkasa sistem keselamatan dan keupayaan kawalan pantai Malaysia.

Projek HWIG tersebut merupakan satu terobosan teknologi yang menyasarkan pembangunan platform mobiliti maritim berkelajuan tinggi, berprofil rendah radar dan dilengkapi sistem persenjataan kawalan jauh yang boleh digunakan untuk rondaan, pengawasan dan tindak balas pantas di kawasan perairan strategik negara.

Menurut Ketua Program, Mej (B) Prof. Madya Ir. Dr. Razali Abidin, projek berkenaan bukan sahaja mencerminkan kemajuan signifikan dalam bidang reka bentuk kejuruteraan pertahanan, malah turut membuktikan bahawa sinergi antara institusi akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan solusi teknologi berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pemerkasaan keselamatan negara.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada perkongsian sumber manusia dan kepakaran, selain merangsang pemindahan teknologi dan inovasi dari makmal ke lapangan sebenar,” jelas beliau.

Sebagai satu-satunya universiti pertahanan di Malaysia, UPNM memainkan peranan penting bukan sahaja melahirkan graduan yang berdisiplin tinggi, malah sebagai pusat rujukan ilmiah dan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.

Inisiatif itu sejajar dengan agenda nasional dalam memperkukuh pertahanan pintar dan meningkatkan peranan pendidikan tinggi serta institusi latihan kemahiran dalam pembangunan industri pertahanan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast