KUALA LUMPUR – Tiga perompak bertopeng dan bersenjatakan parang berjaya melarikan wang berjumlah RM46,000 selepas menyamun gedung pengumpulan barangan syarikat kurier di Meru, semalam.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, kesemua suspek dilihat bertindak sebaik memberhentikan kenderaannya di dalam gudang berkenaan.
Suspek yang menaiki kereta Perodua Bezza itu mengambil masa kira-kira 30 saat sebelum melarikan diri selepas diserang oleh pekerja-pekerja di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun mengenai kes samun wang tunai itu, pukul 1.19 petang.
Katanya, semasa kejadian pengadu dan pekerja lain sedang melakukan proses mengira wang di premis tersebut.
“Siasatan mendapati tiga suspek berparang dan bertopeng muka bertindak melarikan wang tunai RM46,000 milik syarikat kurier berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Vijaya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ujarnya, polis kini sedang mempergiatkan usaha memburu kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fazlan Rezza di talian 011-10561017 atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette