Datin Riza Che Umar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pengunjung dan peniaga pada Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan dengan penganjuran program khas “Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan”.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Che Umar berkata, program ini bertujuan menyantuni masyarakat melalui agihan sumbangan makanan dan keperluan asas secara percuma.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Che Umar

“Sebanyak 1,000 pek Nasi Arab, 1,000 bubur lambuk, dan 1,000 kampit beras diagihkan secara percuma bagi memastikan lebih ramai keluarga dapat menikmati juadah berbuka dengan penuh keberkatan.

“Kami percaya bahawa semangat memberi perlu dipupuk dalam masyarakat. Melalui program ini, kami berharap lebih ramai dapat merasai keindahan berkongsi rezeki serta menikmati suasana berbuka puasa yang harmoni,” katanya.

Selain program santunan, karnival ini turut membantu peniaga kecil dengan menyediakan reruai percuma pada 15 dan 16 Mac, khusus untuk peniaga di Bazaar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terkesan akibat kekurangan pengunjung.

Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada mereka meningkatkan jualan dalam suasana lebih meriah sepanjang hujung minggu.

“Karnival ini turut dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, MaTiC, dan KEMAS, yang menjadi platform memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan budaya memberi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, para peniaga yang menyertai reruai percuma ini turut berkongsi rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk mempromosikan produk mereka kepada pengunjung.

Aisyah Kamsani, 40, pengasas Qalish Beauty, menyatakan keterujaannya dapat menyertai karnival, yang bukan sahaja membantunya memperkenalkan produk tetapi juga membina rangkaian dengan usahawan lain.

Aisyah Kamsani, pengasas Qalish Beauty

“Alhamdulillah, Qalish Beauty dah 10 tahun di pasaran dan menawarkan produk skincare serta wellness. Kita ada scrub, pencuci muka, serum, pelembap dan juga losyen untuk sakit lenguh.

“Program kali ini memang sangat seronok sebab ada artis yang datang. Orang ramai yang hadir pun sangat menyokong. Saya harap rakyat Malaysia lebih celik dalam mencari produk kecantikan dan kesihatan serta utamakan produk tempatan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Tengku Puteri Balqis dari Melaka, yang menjual tudung dan pakaian raya, turut teruja dengan sambutan yang diterima di reruai percuma ini.

“Dekat sini kita buat promosi memang menarik. Ada hadiah percuma, dan beli dua tudung, dapat satu percuma. Suasana sangat meriah dengan kedatangan artis tanah air dan pelbagai aktiviti. Saya harap lebih ramai datang sebab karnival ini bukan biasa-biasa.

“Ada banyak hadiah menarik menanti pengunjung. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk singgah dan meriahkan suasana,” katanya. – MalaysiaGazette

Tengku Puteri Balqis , peniaga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here