KUALA LUMPUR – Pemilik Facebook, Ainon Mohd yang menerbitkan hantaran yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
Dalam masa sama, beliau juga telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
Katanya, beliau memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan pada masa depan.
“Saya, Ainon Mohd, dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.
“Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau malam ini.
Sementara itu, Ainon berkata, beliau turut memberi komitmen kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial dan akan merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan Nabi.
Selain itu, katanya, beliau juga akan menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini.
“Saya menghormati usaha JAKIM dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab,” katanya.
Tambah Ainon, beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian pada masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
“Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, JAKIM hari ini memanggil memanggil dan mengadakan pertemuan dengan Ainon yang turut disertai oleh pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Pertemuan itu susulan kontroversi hantaran yang dimuat naik Ainon di laman sosial Facebook beliau yang mengundang kemarahan ramai kerana menerbitkan hantaran yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme.
Susulan hantaran itu juga, polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan selepas 13 laporan berkenaan isu terbabit daripada pelbagai pihak. – MalaysiaGazette