Sebahagian perwakilan hadir pada Kongres Parti Tindakan Demokratik ke-18. Turut bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (kanan) dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (kiri) di IDCC Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam terbukti berlaku perubahan kepimpinan kepada generasi ketiga atau 3G.

Professor sains politik di Universiti Tasmania, Australia James Chin berkata, rata-rata pemimpin yang mendapat undi tinggi perwakilan adalah mereka yang menyertai parti itu selepas 2008 dan 2018.

“Peralihan generasi yang jelas terbukti—kebanyakan penerima undi tertinggi menyertai DAP selepas 2008 dan 2018, menandakan gelombang kepimpinan baharu- yang dipanggil 3G,” kata penganalisis politik itu dalam perkongsian di media sosial.

Media sebelum ini melaporkan empat pemimpin DAP Pulau Pinang menarik diri daripada pemilihan CEC parti dalam usaha menyokong kepimpinan Generasi ke-3 yang dipelopori Anthony.

Sementara itu, menurut James, Anthony merupakan pemenang utama dalam pemilihan semalam selepas usahanya menampakkan kejayaan.

“Anthony Loke muncul sebagai pemenang utama dengan gesaannya untuk melakukan pembaharuan yang ketara dan menetapkan rombakan.

“Walaupun ramai perwakilan mungkin telah membuat keputusan sebelum ucapannya, ia menguatkan keyakinan mereka terhadap pilihan yang telah mereka buat,” jelas beliau.

Mengenai jumlah tertinggi yang diperolehi Gobind Singh Deo, beliau berpendapat perwakilan memberi isyarat supaya Menteri Digital itu dilantik sebagai Pengerusi.

Selain sebagai tanda ucapan terima kasih kepada jasa mendiang bapanya, Karpal Singh bilangan undi yang tinggi dan pelantikan itu sebagai isyarat untuk menarik kembali sokongan masyarakat India yang dilihat menjauhkan diri daripada DAP.

“Perwakilan DAP memihak kepada Gobind sebagai pengerusi, berkemungkinan mendorongnya ke puncak dengan undian tertinggi.

“Ini boleh menjadi tanda terima kasih kepada peranan bapanya yang lalu sebagai pengerusi dan isyarat strategik kepada masyarakat India, terutamanya apabila DAP nampaknya semakin kehilangan sokongan di kalangan orang India kepada PKR.

“Hakikat bahawa dia agak neutral pada pusingan ini, memberi kelebihan kepadanya,” katanya.

Kemenangan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pula disifatkan sebagai perkembangan baik dalam DAP.

“Dua orang calon Melayu mendapat jawatan tanpa perlu lantikan, ia satu perkembangan yang sangat positif. Kini, mereka perlu melantik lebih ramai orang Melayu,” katanya.

Dalam pemilihan semalam Gobind menduduki tempat teratas dengan undi terbanyak iaitu 2,785 sementara Anthony pada kedudukan kelima dengan 2,508 undi.

Manakala Syahredzan di tempat ke-20 dengan 2,065 undi dan Young Syefura di tempat ke-21 dengan 1,943 undi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here