KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan dakwaan bahawa Nabi SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme adalah tidak berasas sama sekali.
Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, Nabi Muhammad tidak bertindak berdasarkan hubungan peribadi seperti dalam kedua-dua konsep terbabit.
Sebaliknya Rasullulah bertindak berdasarkan perintah Allah SWT dan maslahat umat.
Beliau dengan tegas menyanggah dakwaan itu berkata, penggunaan istilah politik versi Barat seperti nepotisme dan kronisme ke atas Rasullulah adalah tidak adil kerana ia menggambarkan seolah-olah Baginda SAW bertindak berdasarkan kepentingan sendiri.
“Nabi SAW mengasaskan kepimpinan berasaskan kelayakan, keadilan dan amanah. Nabi SAW mengasaskan kepimpinan yang berteraskan prinsip kelayakan, keadilan, dan amanah sebagai asas utama dalam pentadbiran.
“Pelantikan seseorang dalam kepimpinan bukan didasarkan kepada hubungan kekeluargaan atau pertalian peribadi, tetapi atas faktor kelayakan, kepercayaan serta keperluan terhadap individu tersebut dalam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Sabda Baginda SAW: Maksudnya: “Apabila suatu urusan diberikan kepada yang bukan ahlinya, maka nantikanlah kehancuran,” katanya.
Menurutnya, dakwaan bahawa Nabi Muhammad mengamalkan nepotisme dan kronisme adalah salah faham yang berpunca daripada penggunaan istilah politik versi Barat dalam menilai sistem Islam.
Luqman berkata, nepotisme dan kronisme dikaitkan dengan pilih kasih yang membawa kepada ketidakadilan dan kerosakan dalam masyarakat.
Oleh kerana itu, amalam nepotisme dan kronisme diharamkan dalam Islam kerana mengkhianati hak orang lain.
Katanya, Islam mengutamakan siasah Syar’iyyah dan maslahah iaitu pelantikan adalah amanah dan bukan berdasarkan hubungan peribadi.
Luqman turut menegaskan, kedudukan Nabi Muhammad adalah tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan pemimpin dunia biasa.
“Menggunakan istilah politik versi Barat seperti nepotisme dan kronisme dalam menilai kepimpinan Nabi SAW mencerminkan kegagalan memahami prinsip Islam yang berpandukan wahyu dan keadilan sebagai asas utama kepimpinan.
“Menilai kepimpinan Nabi SAW menerusi kacamata politik semata-mata bukan sahaja tidak adil, malah mencemarkan kemuliaan Baginda SAW yang berlandaskan wahyu, keadilan dan amanah,” tegasnya.
Terdahulu, pengguna Facebook yang menggunakan nama Ainon Mohd mencetuskan kontroversi selepas memuat naik hantaran mendakwa bahawa demokrasi Barat tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme.
Beliau turut menyatakan bahawa sebagai ketua negara Islam Madinah, Nabi Muhammad S.A.W mengamalkan nepotisme dan kronisme dengan merujuk hubungan keluarga baginda dengan para sahabat seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali.
Hantaran itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk kecaman dan gesaan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.- MalaysiaGazette