KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkukuh pengurusan royalti muzik bagi memastikan penggiat seni menerima hak mereka secara adil dan teratur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyIPO memperkenalkan Garis Panduan (GP) Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) bagi mengawal selia tadbir urus CMO, termasuk penetapan kadar dan agihan royalti.
“Ini susulan pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang memberi kuasa penuh kepada MyIPO untuk mengawal, mengesahkan dan mengendalikan pengoperasian serta pengagihan royalti,” katanya pada sidang akhbar Majlis Advokasi Royalti Muzik di sini hari ini.
Proses libat urus dengan pemegang taruh sedang dijalankan sebelum garis panduan itu dimuktamadkan.
Selain itu, kerajaan juga berusaha meningkatkan kesedaran penggiat seni mengenai kepentingan pendaftaran hak cipta memandangkan jumlah pendaftaran bagi karya muzik dan rakaman bunyi masih rendah.
Bagi memudahkan proses pendaftaran, MyIPO memperkenalkan sistem dalam talian Copyright to You (CR2U), yang mempercepatkan tempoh pendaftaran daripada enam bulan kepada hanya 30 minit.
“KPDN komited memastikan hak cipta penggiat seni terus dilindungi kerana karya mereka adalah sumber rezeki yang perlu dipelihara,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri 2025 dijangka diumumkan minggu ini selepas beberapa butiran dimuktamadkan. – MalaysiaGazette