PENJELASAN berkenaan risiko akibat aktiviti tekan tubi yang berlebihan. Foto: FB Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR – Kejadian buli melibatkan seramai 62 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Teluk Intan, Perak yang dipaksa melakukan tekan tubi sebanyak 200 kali oleh senior mereka mendapat perhatian Public Health Malaysia – pengendali laman sosial Facebook berkaitan kesihatan.

Menerusi catatan yang dimuat naik malam tadi, pengendali laman sosial itu mengingatkan perbuatan tekan tubi yang berlebihan boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang akut yang tidak diketahui ramai.

Selain itu, ujarnya, tekan tubi sekiranya dilakukan secara ekstrem juga boleh menyebabkan berlakunya rhabdomyolysis iaitu koyakan kecil atau otot pecah kerana dipaksa bekerja secara berlebihan.

“Bila otot rosak, ia melepaskan bahan toksik seperti myoglobin ke dalam darah.

Myoglobin ini adalah protein dari otot yang sangat pekat dan melekit.

“Ia kemudiannya menyumbat buah pinggang, menyebabkan kegagalan buah pinggang akut yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Sementara itu, laman sosial tersebut turut berkongsi tanda-tanda bahaya selepas melakukan aktiviti fizikal ekstrem antaranya otot terasa sakit luar biasa, bengkak atau keras; lemah teruk hingga sukar bergerak dan air kencing menjadi gelap iaitu tanda buah pinggang mula terjejas.

“Jika mengalami simptom ini selepas aktiviti fizikal berat, dapatkan pemeriksaan segera.

“Buli bukan sekadar penderaan mental, tetapi boleh menjadi penderaan fizikal yang membahayakan nyawa. Laporkan. Jangan berdiam diri,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan menerima tujuh laporan daripada pelajar sebuah SBP di Teluk Intan, Perak yang didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam kejadian pada malam, 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, laporan polis diterima daripada tujuh pelajar membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang mendakwa dibuli dua pelajar Tingkatan Lima hingga mengalami kecederaan bengkak di tangan dan sakit otot.

Katanya, siasatan awal mendapati, dua pelajar Tingkatan Lima berkenaan mengarahkan seramai kira-kira 62 pelajar lelaki Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah itu melakukan 200 kali tekan tubi atas alasan ingin mendisiplinkan mereka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here