KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pemilik syarikat dan seorang kerani kerana disyaki terbabit dalam sindiket merasuah pegawai kerajaan bagi mempercepatkan proses permohonan taraf warganegara Malaysia oleh pemohon warga asing.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Qasiratul Jannah Usmani Othman, mengeluarkan perintah reman lima hari sehingga 20 Mac 2025 terhadap kerani lelaki berusia lingkungan 20-an.
Sementara itu, dua pengarah syarikat berusia lingkungan 30-an direman empat hari sehingga tarikh sama selepas permohonan SPRM dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara jam 1 pagi hingga 1.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.
“Tangkapan menerusi Op Fastlane ini susulan Op Outlander yang dijalankan pada 11 Mac lalu bagi membanteras sindiket yang merasuah pegawai kerajaan untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan. Mereka dipercayai membayar rasuah antara RM5,000 hingga RM150,000 bagi setiap permohonan,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharuddin yang mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette