Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau tidak akan menggadaikan prinsip dan maruahnya dalam menghadapi pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Beliau turut berikrar untuk melalui proses perundangan tanpa sebarang usaha melengah-lengahkan perbicaraan atau meminta kes digugurkan.

“Saya tidak menerima sogokan, saya tidak melompat parti, saya tidak meminta kes ini digugurkan, dan saya tidak cuba melengah-lengahkan proses mahkamah. Saya mahu membersihkan nama saya di mahkamah, walau apa pun risikonya.

“Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT dan keputusan mahkamah. Insya-Allah, kebenaran akan tertegak jua,” katanya dalam satu video berdurasi 37 saat yang dikongsikan di media sosial TikTok, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/03/18/rayuan-syed-saddiq-ketepi-hukuman-penjara-sebat-denda-didengar-esok/

Dalam perkongsian tersebut, beliau juga mengimbas kembali tekanan serta cabaran yang dihadapinya sejak 2020, termasuk siasatan yang bermula dengan dakwaan cubaan sogokan dan berakhir dengan ugutan.

Syed Saddiq turut menyeru agar tiada tindakan protes atau serangan terhadap institusi kehakiman susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang dijadualkan diumumkan esok.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk mendoakan keadilan buat dirinya.

“Berani kerana benar, saya tidak sabar untuk mempertahankan integriti saya di mahkamah.

“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Susulan itu, beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk melengkapkan proses berkenaan dengan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here