Danial Al-Rashid
Danial AL-Rashid Haron Aminar Rashid

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) menggesa `audit forensik’ oleh agensi berkelayakan dijalankan segera ke atas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu perkhidmatan yang membebankan dan berlarutan di kementerian itu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, ia susulan kontroversi pemilihan penempatan (e-Placement) yang mengundang kritikan dan kemarahan dalam kalangan doktor muda.

Jelas beliau, masalah teknikal dan isu dalaman yang berlaku pada sistem e-Placement itu tidak mencerminkan nilai profesional KKM yang dipandang tinggi berbanding kementerian lain dalam mengurus tenaga pakar negara.

“Isu teknikal yang dihadapi KKM ini tidak wajar berlaku dan sekiranya perlu bantuan `pakar sumber manusia’, KKM tidak perlu teragak-agak mendapat konsultansi pihak atau badan yang berkaitan, bukannya bergantung harap pada barisan pengurusan KKM yang tidak kompetan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, meskipun Malaysia sering dirujuk sebagai negara terbaik dalam sektor pelancongan kesihatan namun situasi yang menimpa para pegawai perubatan adalah sebaliknya apabila mereka sengsara dan lelah.

Situasi itu, ujarnya, menyebabkan para doktor tempatan lebih memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta berbanding di hospital kerajaan.

“(Doktor tempatan) Bukan tidak patriotik tapi lelah dengan birokrasi kementerian yang jelas tidak profesional dan tidak belajar dari kesilapan lalu,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan doktor muda meluahkan rasa kecewa dan berasa seolah-olah dipermainkan oleh KKM selepas permohonan e-Placement mereka yang sepatutnya dibuka Isnin lalu, ditunda sekali lagi.

Lebih mengecewakan, kata mereka, penangguhan itu yang dimaklumkan menerusi e-mel, ditukar ke minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri iaitu antara 25 hingga 27 Februari.

Permohonan melibatkan seramai 2,245 doktor muda itu sebelum ini pernah dibuat pada 27 Februari lalu, namun dibatalkan KKM susulan gangguan teknikal pada sistem e-Placement.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan berkata, penangguhan sekali lagi pemilihan penempatan 2,245 calon pegawai perubatan lantikan tetap yang dijadualkan Isnin lalu itu ekoran gangguan teknikal serius berpunca daripada akses luar biasa terhadap sistem e-Placement. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here