Muzik video Serumpun berdepan reaksi negatif pelbagai pihak yang menyifatkan busana terdedah ala kemban digayakannya tidak sopan untuk lagu raya.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mimi Fly mengambil keputusan menurunkan muzik video (MV) lagu raya Serumpun dari platform perkongsian video, YouTube selepas ditegur ramai pihak

Kata Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham, 38, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat termasuk darpada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.

“Semenjak lagu raya Serumpun saya dilancarkan, saya terima banyak respons peminat dan pendengar muzik, ada yang baik dan ada juga yang bimbang kalau pendekatan seni ditafsir berlainan serta menyimpang dari niat saya yang sebenar.

“Saya sudah dapat teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan juga nasihat lain jadi saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan dan sudah menurunkan video tersebut,” ujarnya menerusi perkongsian video di Instagram.

Pada masa sama, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu turut memaklumkan kru dan produksi sudah melakukan gubahan semula pada MV terbabit yang dilancarkan semula hari ini.

“Lagu gubahan saya ini adalah mengenai kepelbagaian budaya. Kru produksi sudah pun melakukan gubahan semula dan dilancar semula pada hari ini,” ujarnya.

Sekali lagi meminta maaf dan menegaskan tiada niat mencetuskan kontroversi apatah lagi menghina agama berkaitan pemilihan busana, akuinya dia hanya mahu menghasilkan karya terbaik.

“Sebagai anak Melayu bukanlah niat saya untuk menghina agama dan budaya kita. Sebagai anak seni saya sentiasa mahu pastikan karya saya diterima dan berkualiti.

“Saya manusia biasa dan tidak terlepas melakukan kesilapan. Terima kasih bagi teguran dan kritikan yang baik.

“Sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan. Teruskan mendengar Serumpun,” katanya.

Sebelum ini, MV Serumpun berdepan reaksi negatif pelbagai pihak yang menyifatkan busana terdedah ala kemban digayakannya tidak sopan untuk lagu raya.

Malah isu itu turut meraih perhatian parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan dengan mendakwa MV berkenaan bertentangan ajaran Islam serta maksud sebenar Hari Raya Aidilfitri.

Penampilan pakaian klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai dalam MV terbabit sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza asal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here