KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh hubungan akademik dan memperluaskan kerjasama inovasi teknologi antara Malaysia dan China, 28 pelajar dari Persatuan Kejuruteraan UniversitiMalaya (Engineering Society of Universiti Malaya) telah mengadakan lawatan akademik ke Fakulti Kejuruteraan Bahan, Universiti Peking, China.
Lawatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Lai Khin Wee, Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, ini turut merangkumi kunjungan ke beberapa syarikat utama China serta perbincangan mengenai penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan China-Malaysia.
“Lawatan ini bukan sekadar pertukaran akademik, tetapi juga satu platform bagi pelajar Universiti Malaya untuk merasai sendiri keunggulan pendidikan tinggi di China. Kami berpeluang berinteraksi dengan tenaga akademik Universiti Peking serta menyaksikan sendiri fasiliti penyelidikan bertaraf dunia,” kata Prof. Madya Dr. Lai Khin Wee.
Lawatan ini melibatkan pelajar tahun dua hingga tahun empat dari lima jurusan kejuruteraan di Universiti Malaya, iaitu Kejuruteraan Bioperubatan, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Awam, dan Kejuruteraan Mekanikal.
Sepanjang program, peserta berpeluang meneroka makmal canggih di Fakulti Kejuruteraan Bahan Universiti Peking, menyertai sesi perkongsian bersama pensyarah dan pelajar tempatan, serta mendalami teknologi terkini yang sedang dibangunkan di institusi tersebut.
Menurut Prof. Zhang Jin, Naib Canselor Universiti Peking, hubungan akademik antara Universiti Malaya dan Universiti Peking berpotensi untuk berkembang lebih jauh menerusi kolaborasi penyelidikan.
“Kami sangat menghargai pertukaran ilmu antara kedua-dua institusi. Penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan ini akan menyediakan platform lebih luas bagi saintis dan penyelidik untuk bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran global menerusi inovasi teknologi.
Selain eksplorasi akademik, lawatan ini turut memperkenalkan pelajar kepada ekosistem industri China dengan melawat beberapa syarikat teknologi terkemuka, termasuk Oriental Yuhong dan BOE Technology, bagi memahami budaya korporat dan inovasi teknologi yang
sedang berkembang pesat di negara tersebut.
Tambahan pula, sesi ramah mesra Bersama Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti Peking memberikan peluang kepada pelajar untuk bertukar pengalaman mengenai kehidupan sebagai mahasiswa antarabangsa di China.
“Kami bukan sahaja mendapat pendedahan akademik, tetapi juga memahami bagaimana industri di China bergerak selari dengan kemajuan penyelidikan universiti. Ini memberi perspektif baharu kepada kami tentang bagaimana akademik dan industri boleh berganding bahu dalam membangunkan inovasi yang berdaya saing,” kata salah seorang peserta.
Salah satu pencapaian utama dalam lawatan ini adalah perbincangan lanjut mengenai penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan China-Malaysia.
Projek ini akan dikendalikan oleh Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya dan Fakulti Kejuruteraan Bahan Universiti Peking, dengan pemantauan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Profesor Dr. Kaharudin Dimyati dan pihak Universiti Peking yang diwakili
oleh Prof. Zhao Xiaoxu.
Makmal ini bakal menjadi model rujukan bagi inisiatif Belt and Road dalam bidang kecerdasan buatan dan sains bahan,” ujar Dr. Kaharudin. – MalaysiaGazette