Khidmat potong rambut turut ditawarkan kepada anak-anak gelandangan.

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM), serta Pertubuhan Jejak Jalanan telah berjaya menganjurkan Program Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 di sekitar Lembah Klang.

Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan gelandangan melalui penyediaan juadah berbuka puasa dan sahur serta pemberian sumbangan pakaian terpakai.

Timbalan Naib Canselor HEPA, UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menegaskan program ini adalah sebahagian daripada usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa idaman yang mempunyai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

“Melalui program seperti ini, mahasiswa akan dapat memahami realiti kehidupan golongan kurang bernasib baik serta berpeluang untuk menghayati nilai-nilai
kemanusiaan yang penting dalam pembentukan sahsiah diri.

“Usaha ini selaras dengan komitmen HEPA UMT dalam melahirkan mahasiswa idaman yang berketerampilan dan cakna terhadap isu sosial,” katanya.

Para peserta Program Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 menyantuni golongan gelandangan di Lembah Klang.

Pengarah Program, Saudara Muhammad Afiq Naqiuddin bin Mohd Afizal, yang juga merupakan Exco Kesukarelawan dan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti
Malaysia Terengganu Sesi 2024/2025, turut menyatakan harapannya agar program ini dapat memberi impak positif kepada mahasiswa serta golongan yang dibantu.

“Program ini adalah satu usaha kebajikan dan juga platform pembelajaran bagi mahasiswa untuk mendekati realiti masyarakat yang memerlukan. Saya percaya
pengalaman ini akan meningkatkan rasa tanggungjawab sosial dan empati dalam diri mahasiswa,” ujarnya.

Antara aktiviti utama program ini termasuk pengagihan makanan berbuka puasa dan sahur serta sumbangan pakaian terpakai kepada golongan gelandangan di sekitar
Lorong Haji Taib 2, Kuala Lumpur.

Kawasan ini dipilih kerana ia merupakan antara lokasi utama bagi golongan gelandangan, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.

Para sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa, staf universiti, dan wakil Pertubuhan Jejak Jalanan berganding bahu memastikan proses pengagihan berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu, sumbangan pakaian terpakai hasil inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Terengganu turut disalurkan kepada penerima.

Pakaian ini merupakan hasil sumbangan daripada mahasiswa, warga komuniti, serta staf universiti dan diagihkan secara sistematik mengikut keperluan penerima.

Selain bantuan fizikal, Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM) turut menawarkan sesi Psychological First Aid (PFA) bagi memberikan sokongan psikologi asas kepada mereka yang berdepan dengan tekanan emosi, stigma sosial, serta cabaran hidup yang sukar.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT 2024/2025, Muhammad Aqasha Mukris Zainuri, mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma bagi kanak-kanak gelandangan sebagai usaha kebajikan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keyakinan diri mereka.

Perkhidmatan gunting rambut percuma ini mendapat sambutan yang sangat hebat kerana mereka sangat teruja dengan perkhidmatan yang diberikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here