Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah oleh peguam Rosli Dahlan terhadap Datuk Lokman Noor Adam selesai selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Rosli memfailkan saman itu berhubung penyiaran video yang mendakwa beliau mengaut keuntungan secara tidak sah daripada wang berkaitan usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lokman, 53, ketika membacakan pernyataan maaf di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib berkata, beliau dengan penuh keinsafan, kerelaan dan keikhlasan hati memohon maaf secara terbuka kepada Rosli, 64, kerana menyiarkan tiga video dengan membuat pelbagai tuduhan tidak benar yang memfitnah plaintif.

“Apabila disaman Rosli, saya telah memadamkan kesemua video itu, namun ia tersebar secara meluas dan ‘taken a life of its own’ yang kemudian mengakibatkan fitnah serupa dibuat pelbagai pihak lain di saluran dan platform berbeza.

“Saya dengan ini mengakui bahawa saya telah memfitnah Rosli sedangkan fakta sebenar antaranya Rosli tidak pernah menuntut, mendapat sebarang komisen atau 10 peratus nilai pemulihan aset, dan bahawa Rosli atau firmanya RDS Partnership tidak pernah menerima RM1.7 bilion daripada penyelesaian dengan Goldman Sachs dan itu adalah fitnah.

“Saya dengan ini menyusun sepuluh jari memohon maaf kerana fitnah saya telah mencemarkan watak, integriti dan reputasi Rosli, dan menjadikannya bahan cemuhan masyarakat Malaysia serta merendahkan beliau dalam kalangan orang ramai,” katanya ketika membacakan pernyataan maaf itu yang diperoleh media.

Beliau berkata, sebagai tanda ikhlasnya untuk membersihkan nama Rosli, beliau akan membuat video memohon maaf dan menyiarkan video serta teks permohonan maaf di semua platform media sosialnya.

Rosli yang hadir pada prosiding hari ini menerima permohonan maaf itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

Pada prosiding hari ini, Lokman diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh manakala Rosli diwakili peguam Amiratu Al Amirat Saleh Garbaa.

Hakim Mahazan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu berdasarkan permohonan maaf tanpa syarat oleh Lokman selaku defendan dan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa perlu melalui sebarang perbicaraan.

Pada April 2021, Rosli memfailkan saman fitnah terhadap Lokman selepas beliau antara lain mendakwa Rosli dan firmanya memperoleh keuntungan daripada penyelesaian 1MDB dengan Goldman Sachs dan AmBank. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here