KUALA LUMPUR – Seramai 325 pelajar dan pensyarah dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Malaysia bersama Politeknik Caltex Riau (PCR), Indonesia, menyertai Program Khatam Al-Quran yang diketuai oleh pelajar Techno Huffaz PSA.
Program yang dijalankan secara hibrid ini dianjurkan oleh Jabatan Perdagangan PSA sebagai salah satu pengisian sempena bulan Ramadan, selain bertujuan memperkukuh hubungan kolaborasi antara kedua-dua institusi pendidikan serumpun.
Timbalan Pengarah Akademik PSA, TS DR Ahmad Aftas Azman berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Cahaya Ramadan, yang juga kesinambungan kepada program ‘DPM Together as One’ yang melibatkan 350 pelajar Diploma Pengajian Perniagaan (DPM).
“Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk acara sukan melibatkan pelajar DPM.
“Menjelang Ramadan, kami turut menganjurkan aktiviti berunsurkan kerohanian seperti Kuiz Cahaya Ramadan, Tadarus Al-Quran dan Tazkirah Ramadan TikTok Challenge,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua aktiviti ini membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik, kerohanian dan kokurikulum.
Sementara itu, pensyarah PCR, Mochamad Susantok menyifatkan jemputan untuk menyertai program ini sebagai satu penghormatan buat mereka, selain menjadi wadah mempereratkan hubungan dengan institusi pendidikan di Malaysia.
“Kami juga mengisi Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan ketakwaan dan keimanan. Program ini menjadi acara kemuncak bersama PSA, dan kami menyambut baik segala bentuk kolaborasi yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan sama. -MalaysiaGazette