KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan Petak 2 Jam bagi tempat letak kereta bahu jalan di Kuala Lumpur, berkuat kuasa 7 April ini.
Menurut DBKL, sebagai permulaan ia akan dilaksanakan di dua lokasi terpilih sebagai projek rintis (pilot project) iaitu di kawasan Medan Tuanku dan Ipoh Kecil.
“Petak 2 Jam adalah petak letak kereta yang mempunyai had penggunaan maksimum sehingga dua jam sahaja.
“Pelaksanaan ini adalah selaras dengan Perenggan 13(2), Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya mnerusi kenyataan.
Jelasnya, pelaksanaan Petak 2 Jam di kawasan-kawasan lain akan diperluaskan secara berperingkat mulai Jun tahun depan.
Menurut DBKL, kadar caj tempat letak kereta bagi Petak 2 Jam berbeza mengikut zon.
Selain itu, bayaran boleh dibuat melalui aplikasi EZ KL Smart Park. – MalaysiaGazette