KUALA LUMPUR – Pendakwah, Firdaus Wong menerima ugutan bunuh daripada seseorang susulan beberapa hantaran di laman sosialnya yang mempersoalkan pembinaan rumah ibadat haram di tapak yang tidak dibenarkan.
Lantaran itu, beliau mahu membuat laporan polis hari ini.
“Saya akan membuat laporan polis selepas solat Jumaat ke atas seorang individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang melakukan ugutan bunuh terhadap saya.
“Saya bercakap soal undang-undang tentang pembinaan kuil haram sebagaimana dilaporkan media dan kajian tetapi mereka pula beremosi tanpa fakta sehingga membuat ugutan bunuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Firdaus menegaskan, beliau tidak gentar dengan ugutan yang diterimanya kerana beriman dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
“Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu manfaat, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain dari apa yang telah Allah tetapkan untukmu.
“Dan andaipun mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu (Sunan At Trmidzi no. 2516).
“Hasbunallah wa ni’mal wakiil. Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
“Apa jua yang berlaku, sahabat teruskan menyokong usaha dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM),” katanya.
Firdaus turut menasihatkan sahabatnya semua agar tidak mengambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang.
Sebaliknya, beliau menekankan sebagai Muslim, adalah lebih baik jika perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Apa jua yang berlaku, sahabat teruskan menyokong usaha dakwah,” ujarnya. – MalaysiaGazette