Antara logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUANTAN – Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki empat lelaki bertopeng ketika dia sedang tidur di kediamannya di Chini Timur 1, Pekan lewat malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, ketika kejadian pada pukul 11.50 malam itu, mangsa yang sedang tidur terkejut kerana terdengar bunyi barang jatuh, lalu keluar bilik untuk membuat pemeriksaan.

“Namun, dia mendapati terdapat empat individu bertopeng berpakaian gelap berada di ruang tamu.

“Terkejut dengan kejadian tersebut, pengadu berusia 26 tahun itu telah menjerit dan membuatkan salah seorang suspek mengacukan pisau pada leher anak lelaki mangsa berusia empat tahun yang sedang tidur di ruang tamu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya diam, manakala seorang suspek lain menarik mangsa ke arah anaknya serta memeluk mangsa.

Katanya, dua lagi suspek kemudian menggeledah setiap bilik di rumah mangsa dan mengambil dua buah telefon bimbit jenis Iphone XR dan VIVO V25 yang berada di ruang tamu.

“Salah seorang suspek memasuki bilik tengah yang dihuni ibu mertua mangsa, lalu mengarahkannya keluar ke ruang tamu dan merampas seutas rantai leher dan gelang tangan miliknya.

“Kesemua suspek kemudian beredar keluar melalui pintu dapur di bahagian belakang rumah selepas mengarahkan mangsa, ibu mertua dan anaknya berkumpul di bilik tidur hadapan,” tambah Mohd Zaidi lagi.

Beliau berkata, ketika kejadian, pintu hadapan rumah itu tidak berkunci, manakala suami dan bapa mertua mangsa keluar bermain badminton.

Tambahnya, jumlah kerugian dihadapi mangsa dianggarkan bernilai RM12,000.

Mohd Zaidi berkata, pihak polis kini giat mengesan suspek kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here