KUANTAN – Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang menganjurkan pertandingan Pesta Pelita Raya Pahang 2025 bermula 20 Mac di kesemua 11 daerah di negeri ini.
Tourism Pahang dalam kenyataannya berkata, pesta ini bagi menyemarakkan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Pahang.
“Program ini bukan sahaja untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Raya, tetapi juga sebagai usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk, selain menarik minat pelancong untuk merasai sendiri keunikan tradisi ini di Pahang.
“Setiap daerah akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasang pelita kreatif, persembahan kebudayaan, serta jualan makanan dan produk tempatan yang mencerminkan identiti negeri ini,” kata kenyataan itu.
Antara elemen penilaian yang diambil kira termasuklah kreativiti, inovasi, keserasian tema, pencahayaan, keaslian serta penglibatan komuniti setempat.
Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, himpunan pelbagai rekaan dekorasi itu pasti menjadikan Pahang lebih menarik sepanjang musim perayaan, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini.
Tourism Pahang memberitahu, proses penjurian akan berlangsung dari 19 Mac sehingga 26 Mac 2025 dan pemenangnya akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Difahamkan, proses penjurian telah pun bermula pada pukul 8 malam di Dataran Raub, Raub dan 10 malam di Taman Pinggiran Sungai Marong, Bentong semalam.
Bagi daerah-daerah lain terlibat pula adalah di Padang Awam, MD Bera, Bera dan Taman Kenangan, Temerloh pada Jumaat, Dataran Batu 0 Bandar Lama Lipis, Lipis pada Sabtu dan Taman i-City, Jerantut pada Ahad.
Bermula hari Isnin sehingga Rabu depan pula, kerja-kerja penjurian bersambung di Taman Pertabalan Tanah Rata, Cameron Highlands; Taman Awam @ Kuala Rompin, Rompin; Padang MP Pekan, Pekan; Riverfront Maran, Maran dan City Garden, Kuantan.
Kenyataan itu juga memaklumkan mesyuarat penyelarasan markah penjurian Pesta Pelita Raya Pahang akan dilaksanakan pada jam 4 petang hari Khamis depan di Pejabat Tourism Pahang, di sini. – MalaysiaGazette