KUALA LUMPUR- Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025.
Beliau, yang merupakan anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebelum ini telah menawan Gunung Kilimanjaro, Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut.
Misi yang dilakukan pada 14 Februari 2024 itu adalah sebahagian daripada persediaannya untuk mendaki Gunung Everest.
Mohd Fakhrul Munir kini dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum setelah menjalani sesi latihan intensif termasuk pendakian di Gunung Kinabalu.
Katanya, pengalaman di Kilimanjaro juga telah membantu beliau menyesuaikan diri dengan penyakit ketinggian, terutamanya dari segi pernafasan, selera makan dan pola tidur.
Persiapan dari segi peralatan turut berada pada tahap hampir sempurna dengan 80 peratus keperluan sudah dilengkapkan.
“Saya dijadualkan berlepas ke Kathmandu, Nepal pada 7 April ini. Setibanya di sana, saya akan melakukan beberapa pendakian terlebih dahulu bagi membiasakan diri dengan penyakit ketinggian atau Acute Mountain Sickness (AMS).
“Saya dijangka berada di Nepal selama dua bulan sebelum memulakan pendakian ke puncak Everest dan akan menunggu kebenaran akhir (green light) daripada Sherpa sebelum meneruskan pendakian ke puncak,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi juga bertujuan mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas serta mereka yang masih dalam perkhidmatan.
Selain itu, projek pendakian amal itu juga turut mengumpul dana untuk pembedahan dan rawatan transplantasi (buah pinggang) selain memberi kesedaran kepada masyarakat awam untuk menjadi penderma buah pinggang.
Projek itu turut mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi JBPM dan dianjurkan bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., serta Kumpulan AL Baghdadi Group Sdn. Bhd.
Untuk mengumpul dana, Mohd Fakhrul Munir telah melancarkan jualan amal alat pemadam api (keluaran khas) satu kilogram berserta barangan kombo eksklusif seperti baju-T dan topi tahan lasak. -MalaysiaGazette