Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diperjelaskan oleh pihaknya selepas terdapat kekeliruan berkenaan kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat (AS) serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.

Bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir.

“Langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohamad mendakwa terdapat kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan menyeludup bekalan telur tempatan ke AS susulan harga telur di negara itu meningkat akibat kekurangan bekalan.

Beliau turut berkata kemungkinan itu tidak dapat ditolak berikutan negara kuasa besar itu sendiri sebelum ini, ada meminta bantuan Malaysia untuk mengeksport telur ayam ke negara berkenaan.

Kerjasama erat antara KPKM dan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan.

Sehingga 24 Januari lalu, media melaporkan rakyat AS berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam serius berikutan wabak berterusan selesema burung H5N1 menyebabkan bekalan telur ayam makin berkurangan di pasaran dan sukar diperoleh.

Oleh yang demikian, Mohamad menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here