Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Maju Jaya, Johor Bahru memilih pakaian yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

JOHOR BAHRU – Banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa terjejas terus meningkat kepada lebih 13,000 penduduk daripada 3,749 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi.

Semua mangsa banjir ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di enam daerah yang terjejas iaitu Johor Bahru, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 11,964 penduduk daripada 3,594 keluarga di 100 PPS yang direkodkan pada 6 petang semalam.

“Johor Bahru merupakan daerah paling teruk terjejas banjir apabila merekodkan pertambahan mangsa seramai 1,018 daripada 123 keluarga menjadikan seramai 5,402 penduduk daripada 1,532 dipindahkan ke 27 PPS.

“Kluang merupakan kedua yang terjejas mencatatkan penurunan daripada 2,734 penduduk membabitkan 786 mangsa kepada 2,458 penduduk daripada 708 keluarga, sebanyak lima PPS ditutup.

“Pontian turut mencatatkan sedikit penurunan kepada 1,782 penduduk daripada 488 keluarga di 21 PPS berbanding 1,866 penduduk daripada 510 mangsa di 22 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, mangsa banjir Kota Tinggi meningkat sedikit daripada 1,661 penduduk daripada 484 keluarga kepada 1,690 penduduk daripada 491 keluarga di 15 PPS.

Katanya, angka mangsa banjir di Kulai turut meningkat daripada 1,274 penduduk 392 keluarga kepada 1,531 penduduk daripada 460 keluarga di lapan PPS.

“Daerah Batu Pahat yang baharu terjejas banjir, semalam merekodkan pertambahan lima kali ganda daripada 45 penduduk daripada 15 keluarga kepada 226 penduduk daripada 70 keluarga di dua PPS,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Segamat dan Mersing.

Tambahnya, tiga sungai di negeri ini iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat; Sungai Kahang di Kluang dan Sungai Pulai di Pontian berada di paras bahaya.

“Sementara itu, tiga jalan yang masih terputus hubungan dan tidak boleh dilalui ialah Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Jabi Bukit Tempurung (Segamat),” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast