Ibubapa membawa si cilik ketika membeli barang persiapan untuk menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri pada program ‘Havoc Raya Fest’ di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

SHAH ALAM – Bermula semalam sehingga 25 Mac ini, jualan produk tempatan yang kebanyakannya adalah persediaan kelengkapan menjelang Aidilfitri iaitu Selangor Havoc Raya Fest 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati jualan festival berkenaan menempatkan pelbagai produk jenama tempatan bermula daripada biskut raya, kek, minyak wangi, songkok, baju kurung, tudung, baju Melayu dan macam-macam lagi.

Sebagai salah seorang peniaga yang menjadi vendor, Nur Jeha Mohd Yazid, 23 berkata, dia beruntung dapat menyertai festival berkenaan.

Jelasnya, Selangor Havoc Raya Fest 2025 merupakan peluang terbaik untuk peniaga Bumiputera sepertinya memperkenalkan produk secara fizikal kepada pelanggan.

Pengunjung, Nur Jeha Mohd Yazid bercakap pada media semasa program ‘Havoc Raya Fest’ di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

“Di sini banyak yang dijual daripada jenama tempatan bermula daripada minyak wangi, kosmetik sehinggalah kepada baju, semua ada. Tidak perlu pergi tempat jauh di sini lengkap semua,” katanya kepada MalaysiaGazette.

“Ada juga peniaga yang sebelum ini kita tidak kenali produk dia jadi melalui jualan seperti ini dapat promosikan jenama tempatan juga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam masa yang sama katanya, jualan festival yang didakan di Shah Alam itu memudahkan penduduk sekitar mencari keperluan Aidilfiti hanya di satu lokasi sahaja.

“Saya jaga kedai tudung di sini, sebenarnya kebaikan jualan seperti ini dekat Hari Raya ramai penduduk sekitar sini boleh datang cari keperluan mereka,” ujarnya.

Menerjah pandangan orang ramai yang datang, Syed Zakwan Syed Fadzil 26 berasal dari Meru berkata, beliau berharap jualan oleh vendor-vendor tempatan di situ mengutamakan kualiti agar dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan.

Pengunjung, Syed Zakwan Syed Fadzil bercakap pada media semasa program ‘Havoc Raya Fest’ di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

“Kalau harga jualan di sini saya tengok agak berpatutan, yang penting sebenarnya kualiti perlu juga kita nilai.

“Bagus juga jualan begini, untuk pengguna lihat jenama-jenama yang ada banyak juga yang berkualiti,” katanya.

Baru berkahwin setahun yang lalu, Syed Zakwan berkata, dia dan isteri hanya mahu fokus kepada menyediakan keperluan asas sahaja pada Aidilfitri tahun ini.

Ini termasuklah memilih untuk memakai baju sedia ada tanpa perlu membazir.

“Tahun ini persiapan saya dan isteri biasa sahaja, hanya buat persediaan yang betul-betul perlu sahaja. Sebab saya baru setahun mendirikan rumah tangga jadi memang sediakan keperluan asas sahaja.

“Tidak berapa nak belanja berlebihan. Fokus kepada makanan, baju guna sedia ada…Datang sini nak tengok sambil cuci mata sahaja,” tambahnya.

Sementara itu, penjawat awam, Arianti Mat Jalal berasal dari Kampar, 45 juga berharap harga barangan yang dijual di Selangor Havoc Raya Fest 2025 berpatutan dengan kemampuan penduduk sekitar.

Pengunjung, Arianti Mat Jalal bercakap pada media semasa program ‘Havoc Raya Fest’ di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

“Sebenarnya jualan seperti ini memudahkan untuk yang belum cukup persiapan Hari Raya kerana di sini kan semua ada.

“Harap harga yang diletakkan tidaklah terlalu tinggi, jadi orang yang datang mampu beli,” katanya.

Sebagai rekod, Selangor Havoc Raya Fest 2025 dijadualkan bakal dirasmi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada malam ini.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here