KUALA LUMPUR – Selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga, Farid Kamil dan Diana Danielle sah bercerai talak satu hari ini.
Farid, 43, melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Farid melafazkan cerai selepas persetujuan antara kedua-dua pihak.
“Sebentar tadi, kedua-dua pihak telah bersetuju selesaikan kes perceraian secara baik di mana Farid telah melepaskan Diana Danielle talak 1 untuk kali kedua,” katanya di Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson bersyukur kemelut rumah tangga mereka berakhir dengan baik hari ini.
Jelasnya, keutamaan untuk dirinya dan Farid selepas ini adalah membesarkan kedua-dua anak mereka bersama-sama meskipun bukan lagi suami isteri.
“Alhamdulillah, kita masing-masing boleh teruskan fokus kepada anak-anak, fokus membina jalinan persahabagan yang lebih baik selepas ini
“Yang penting adalah kebaikan untuk anak-anak, tidak banyak nak saya katakan sebab kes pun sudah selesai,” katanya yang sempat mengucapkan terima kasih kepada Farid kerana memudahkan urusan hari ini.
Diana, 33, memberi jaminan tidak akan menyukarkan urusan menjaga anak-anak mereka pada masa akan datang.
“Walaupun kami sudah berpisah tapi saya tidak rela jaga anak-anak seorang jadi saya tidak ada nak rancang simpan (jaga) anak sendiri dan susahkan bekas suami sebab bagi saya anak-anak tetap memerlukan ayah
“Keadaan sudah sukar, jadi kita berusaha untuk memudahkan mereka. Jangan menyukarkan mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, meskipun akhirnya berpisah namun Farid, 43, bersyukur krisis rumah tangga mereka berakhir dengan baik tanpa perlu bermusuhan.
“Saya ucapkan terima kasih juga kepada Diana kerana memahami situasi dan kita fokus kepada masa depan anak-anak. Apa yang terbaik hari ini adalah apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Sebagai rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Farid dan Diana berdepan masalah rumah tangga dan mereka bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023.
Bagaimanapun, mereka sepakat rujuk ketika di dalam tempoh idah yang diumumkan pada temubual bersama salah satu portal hiburan tempatan.
Kemudian Diana dilaporkan memfailkan cerai buat kali kedua pada 4 November tahun lalu.
Pada 21 Januari lalu, Farid melantik peguam syarie mewakilinya iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi pihaknya.
Terdahulu, kedua-dua mereka ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: