KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menafikan menerima sebarang dana daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, dakwaan kononnya pertubuhan itu mendapat dana daripada USAID bertujuan untuk mencemarkan nama baik Ikram serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan berkenaan.
Menurutnya, IKRAM hanya terlibat membantu mengedarkan 400 pek makanan sumbangan USAID semasa pandemik Covid-19 pada April 2020 di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bantuan makanan ini disalurkan kepada anggota masyarakat yang memerlukan akibat bencana pandemik dan bukan untuk IKRAM atau ahlinya.
“Tambahan pula penglibatan IKRAM pada masa itu adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terkesan dalam situasi genting.
“Penglibatan Ikram adalah sukarela dan tidak melibatkan sebarang bentuk kerjasama berterusan atau pertukaran dana,” katanya dalam kenyataan.
IKRAM menegaskan segala aktiviti yang dijalankan sentiasa berlandaskan prinsip kebajikan, kejujuran dan ketelusan.
Serentak itu, Badlishah Sham menggesa supaya menghentikan sebaran yang mengaitkan Ikram dengan USAID atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Oleh itu, IKRAM menyeru kepada semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita palsu atau fitnah yang disebarkan tanpa usul periksa.
“IKRAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang cuba menimbulkan fitnah pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, mengurangkan bantuan asing dengan ketara selain mengehadkan peranan USAID.
Tindakan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis kerana ia berkemungkinan boleh menutup operasi kira-kira 40 NGO di Malaysia akibat kekurangan dana.-MalaysiaGazette