KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamed menggelarkan Israel sebagai binatang dari neraka kerana meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah menjangkakan rejim Yahudi itu tidak menghormati komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dengan Hamas sebelum ini.
“Apa yang mereka lakukan adalah untuk menghentikan pembunuhan demi mendapatkan kebebasan untuk tebusan. Selain itu mereka meneruskan sekatan bekalan, ubat-ubatan dan perumahan sementara yang menjadi syarat.
“Kemudian mereka menuntut pembebasan semua tebusan yang tinggal. Bersama-sama dengan Amerika mereka mengancam “neraka” jika rakyat Gaza tidak mematuhinya. Dan kini binatang dari neraka ini telah memulakan semula pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Dr. Mahathir percaya Israel tidak akan mengotakan janjinya untuk meneruskan gencatan senjata walaupun tebusan Israel dilepaskan.
Bersama-sama Amerika Syarikat, Israel mempunyai matlamat untuk menjajah Gaza dan menjadikan wilayah itu sebagai kawasan percutian.
“Saya percaya bahawa jika tebusan yang lain dibebaskan mereka akan memulakan semula dan meneruskan matlamat mereka untuk membunuh semua rakyat Palestin di Gaza.
“Mereka tidak akan berhenti sehingga mereka menduduki dan mengambil alih Gaza. Bersama Amerika mereka mahu menjadikan Gaza sebagai pusat percutian. Mereka mahu membuat wang dengan membunuh orang,” menurut Dr. Mahathir.
Tegasnya, walaupun dunia takut dengan Amerika Syarikat sesuatu perlu dilakukan bagi menghentikan pembunuhan kepada penduduk yang lain.
Menurut Dr. Mahathir, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu segera menghantar pasukan pengaman ke Gaza.
“Dunia takut dengan Amerika Syarikat. Ia adalah ganas. Tetapi dunia tidak boleh hanya melihat dua juta penduduk Gaza dibunuh.
“Satu-satunya penyelesaian adalah untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar pasukan penjaga keamanan multinasional untuk melindungi penduduk Gaza.
“Israel dan Amerika akan melawan pasukan itu. Tetapi dunia mesti mengambil risiko. Orang yang tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan dengan kekerasan. Itulah satu-satunya cara,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette