KUALA LUMPUR – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan bekas presidennya, Datuk Peter Anthony memohon pengampunan diraja.
Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi berkata, Peter setakat ini hanya memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman dan sabitan terhadapnya pada 4 Mac lalu.
Menurut beliau, semakan itu difailkan minggu lalu manakala pengurusan kes telah tetapkan dalam tempoh terdekat ini.
“Laporan mengatakan Peter memohon pengampunan diraja seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan yang memetik Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (Datuk Seri Kadzim M Yahya) tidak tepat.
“Peter setakat ini hanya memfailkan semakan kehakiman dan belum sampai ke tahap itu (memohon pengampunan diraja), ramai yang bertanya kepada saya dan oleh sebab itu penjelasan perlu diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal SabahNewsToday.
Semalam, sebuah portal berita yang memetik Kadzim melaporkan peguam Peter memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkenaan memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Sementara itu, Willie berkata, pihaknya juga telah menghantar notis kepada speaker DUN Sabah berhubung permohonan semakan kehakiman melibatkan Peter tersebut.
Katanya, notis itu telah dihantar dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan speaker DUN Sabah sebelum ini.
“Kini terpulang kepada mereka (DUN Sabah) untuk membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lalu mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Susulan itu, Kadzim berkata, Peter mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan yang ada sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik. – MalaysiaGazette















