Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan baucar petrol dan diesel bernilai RM50 kepada anak kelahiran Pahang di perantauan pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik ke Pahang 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kira-kira seminggu lagi, Kerajaan Negeri Pahang mengagihkan baucar petrol dan diesel bernilai RM50 kepada 5,000 anak kelahiran negeri itu untuk balik ke kampung halaman pada 1 Syawal nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu sebagai bantuan kewangan untuk meringankan beban rakyat Pahang yang berada di perantauan di samping sebagai galakan berhari raya bersama keluarga.

“Sambutan anak-anak Pahang yang berada di perantauan sangat baik, hari ini sahaja 1,000 orang yang hadir dan ada 4,000 orang lagi menanti, kalau sempat diagih pada malam ini.

“Mungkin mereka boleh ambil kupon minyak tersebut di kawasan masing-masing apabila mereka kembali bercuti nanti.

“Saya menyeru anak-anak Pahang yang berada di perantauan, kita kena jaga negeri kita, kita kena sama-sama memakmurkan Pahang. Saya seru mereka supaya balik kampung terutama mereka yang masih lagi mempunyai ibu bapa.

“Berhati-hati di jalan raya, jangan gopoh-gapah, periksa kenderaan, yang penting selamat sampai ke destinasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik ke Pahang 2025 di Stadium Titiwangsa malam tadi.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak serta Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast