MADINAH – Presidensi Hal Ehwal Agama Arab Saudi di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah melancarkan platform digital inovatif bagi mengajar Surah Al-Fatihah, termasuk hukum tajwid serta membetulkan bacaan, sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digital untuk meningkatkan pengalaman pengunjung ke dua masjid suci itu.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), platform itu boleh diakses melalui https://fatiha.prh.gov.sa/home dan direka khas untuk jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia.
Ia menawarkan kandungan pendidikan yang menyeluruh merangkumi tafsiran, bacaan serta hafazan Al-Quran dalam pelbagai bahasa.
Platform mesra pengguna ini turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dapat mengesan serta membetulkan kesilapan bacaan secara audio, selain menyediakan laporan berkala terperinci bagi menjejak kemajuan individu. – BERNAMA