KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan menegaskan tidak menggunakan konsep Islam sebagai agama rasmi di negara ini untuk menekan mana-mana individu mahupun agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak majoriti mahupun minoriti tidak terlepas daripada perkara yang termaktub dalam Pelembagaan Persekutuan yang mewartakan Islam sebagai agama rasmi.
“Islam agama persekutuan, umat Islam adalah majoriti di negara ini tetapi kita tidak gunakan itu untuk menekan sesiapa.
“Yang majoriti (beragama Islam) dan Islam sebagai agama persekutuan mesti ikut hukum dan undang-undang.
“Yang minoriti pun mesti tunduk kepada undang-undang. Kita tidak boleh berlaku zalim kepada kaum majoriti mahu pun minoriti.
“Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai Madani ini,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Polis ke 218 di PULAPOL, hari ini.
Hadir adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan tidak sepatutnya digambarkan sebagai zalim dalam menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
Malah beliau menegaskan perkara itu perlu dibincangkan dengan baik antara kedua-dua pihak bagi menjaga keharmonian pelbagai kaum.
“Jangan gambarkan kami (kerajaan perpaduan) zalim, dan jangan dengar penghasut ada (masyarakat) Melayu yang beritahu apa salahnya buat masjid di tepi kuil itu.
“Tidak salah tapi salahnya tanah itu milik syarikat jadi peraturan dia dan kita beri ruang untuk (kuil) pindah dengan baik.
“Arahan kita konsisten jangan sesekali ganggu dan sulitkan mana-mana mereka.
“Ada bekas menteri dan timbalan menteri yang nak jadi jaguh padahal semua kelulusan itu masa mereka berkuasa. Kelulusan pembinaan masjid masa mereka berkuasa, penjualan tanah itu pada 2012 pada mereka berkuasa, bukan pada masa saya,” katanya lagi.
Awalh hari ini, Anwar menegaskan beliau akan tetap meletakan meneruskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani di Jalan Masjid India.
Beliau berkata program pada Khamis ini akan tetap berjalan seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette