Christopher (tengah) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas daripada empat lelaki yang aktif melakukan jenayah secara sendirian atau solo membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah kira-kira RM76,000.

MELAKA – Empat lelaki yang aktif melakukan jenayah secara sendirian atau solo akhirnya tumpas dalam serbuan berasingan membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah kira-kira RM76,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah masuk dan cubaan samun berusia antara 31 hingga 58 tahun.

Menurutnya, tangkapan terbaharu adalah pada Ahad lalu selepas polis berjaya menahan pengawal keselamatan digelar ‘Salleh Solo’ berusia 48 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur namun melakukan pecah rumah di Melaka.

“Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang Ahad lalu selepas kita berjaya menimbulkan cap jarinya dalam kes pecah rumah yang tidak berpenghuni melibatkan kerugiaan dianggarkan RM45,000.

“Mankala dalam serbuan lain, penganggur digelar ‘Nathan Solo’ berusia 47 tahun berjaya diberkas pada 16 Mac lalu selepas dipercayai melakukan tiga kes pecah rumah menyebabkan mangsa kerugian RM25,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Christopher berkata, pada 18 Mac lalu, kepantasan polis berjaya menumpaskan jenayah penganggur dikenali ‘Joseph Solo’ berusia 58 tahun.

“Suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah masuk bangunan dengan menyasarkan hostel pekerja untuk mencuri telefon bimbit melibatkan jumlah keseluruhan kerugian RM6,000.

“Seorang lagi penganggur digelar ‘Jebot Solo’ berusia 31 tahun turut ditahan selepas disyaki terlibat dalam cubaan rompak dengan cara berpura-pura menegur mangsa yang bersendirian sebelum merompaknya,” katanya.

Tambahnya, suspek berjaya diberkas di rumahnya di kawasan Kampung Bertam Malim kira-kira 12 tengah hari 20 Mac lalu.

Christopher berkata kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak Februari tahun ini dengan cara menggunakan motosikal dan bergerak secara solo.

“Hasil semakan juga mendapati keempat-keempat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain seorang daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 380, Seksyen 411, Seksyen 393, dan Seksyen 384 kanun sama” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here