MELAKA – Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bergiat aktif dalam usaha membantu universiti dari semasa ke semasa dan terkini memberi sumbangan bagi aktiviti pelajar dan elaun sara hidup mahasiswa.
Pihak Alumni UTeM telah menyumbang sebanyak RM 20,000 kepada Tabung Aktiviti Pelajar serta inisiatif Program Adik Angkat yang menyediakan bantuan elaun
sara hidup kepada mahasiswa UTeM melalui sokongan syarikat-syarikat milik Alumni UTeM.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penglibatan aktif dan komitmen berterusan pihak Alumni sesebuah universiti merupakan satu perkara bernilai besar dalam menzahirkan hubungan baik yang terus terjalin erat antara universiti dan alumni.
Jelasnya, keterlibatan aktif alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti merupakan antara bukti bahawa hubungan antara graduan dan alma mater terus
utuh, bahkan berkembang ke arah jaringan profesional yang lebih kukuh.
“Komitmen alumni dalam membantu pelajar bukan sahaja mencerminkan rasa cinta kepada universiti, tetapi juga memperlihatkan kesedaran tinggi terhadap keperluan
menyokong generasi akan datang dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kerjaya,” katanya sewaktu Majlis Iftar Alumni UTeM di salah sebuah hotel di Shah
Alam, baru-baru ini.
Majlis ini telah dihadiri oleh lebih daripada 100 orang alumni yang menjadi simbol kebersamaan dalam membina legasi kecemerlangan UTeM serta menyemarakkan budaya menyumbang dalam kalangan alumni.
Presiden Persatuan AUTeM, Ts. Mohd Nor Irman Sulaiman menegaskan kepentingan kesinambungan hubungan antara alumni dan UTeM sebagai satu
ekosistem yang menyokong kecemerlangan pelajar dan universiti.
“Alumni bukan sekadar penyokong tetapi juga rakan strategik universiti dalam mencorak pembangunan pendidikan tinggi serta membuka peluang kepada pelajar
untuk lebih berdaya saing di peringkat industri.
“Seiring dengan inisiatif ini, beberapa syarikat alumni tampil menghulurkan bantuan kepada mahasiswa dalam bentuk elaun sara hidup melalui Program Adik Angkat
bagi memastikan golongan pelajar yang kurang berkemampuan mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang pengajian mereka,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette